Nov 23, 2025 - FASSelangor FC berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors FC 2-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Pertembungan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha memburu tiga mata penting. Selangor FC membuka tirai jaringan menerusi Alvin Fortes pada minit ke-21 hasil hantaran tepat Quentin Cheng. Skuad Gergasi Merah terus berusaha untuk menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya sebelum Chrigor menambah gol kedua pada minit ke-54. Situasi berubah apabila buat pasukan pelawat apabila Abdul Sesay menerima kad merah pada minit ke-60, namun pasukan terus mengekalkan kemenangan sekaligus membantu Selangor FC naik satu tangga ke kedudukan keempat dengan 16 mata.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel, meluahkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut namun menegaskan masih ada ruang untuk memperkemaskan prestasi pasukan.
“Saya gembira dengan tiga mata ini, tetapi saya masih mengharapkan lebih daripada pasukan. Ada ketika kita hilang kawalan dan itu perlu diperbaiki. Namun, pemain memberikan reaksi yang sangat baik sepanjang aksi. Dengan hanya satu hari untuk membuat persiapan, perlawanan berlangsung seperti yang dijangka. Jika kami lebih tajam, mungkin lebih banyak gol dapat dijaringkan. Perkara paling penting adalah kita mencipta peluang, dan pasukan melakukannya dengan sangat baik. Walaupun begitu, masih banyak yang perlu kami perbaiki,” tegas beliau
Skuad Gergasi Merah selepas ini akan terbang ke Thailand bagi aksi kelima Kumpulan G saingan ACL TWO 2025/26 menentang Bangkok United FC di Stadium Pathum Thani pada 26 November ini pada jam 8:15 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC turut merakamkan penghargaan kepada 4,237 penyokong yang hadir ke Stadium MBPJ bagi menyemarakkan suasana perlawanan serta bersama-sama meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia melalui AKE Kids Carnival semalam.
Demi Kebanggaan!